Saturday, October 6, 2012
PENGENALAN & RASIONAL
1.1 PENGENALAN
Dasar 1 Murid 1 Sukan (1M 1S) mewajibkan setiap murid menyertai sekurangkurangnya
satu aktiviti sukan di sekolah. Dasar ini menyokong pelaksanaan
Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang memberikan tumpuan ke arah melahirkan
insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Dasar ini selaras dengan Dasar Sukan Negara yang memberikan penekanan
kepada Sukan Untuk Semua dan Sukan Untuk Kecemerlangan. Matlamat dasar
ini memberikan perhatian yang utama kepada murid yang kurang aktif supaya
mereka melibatkan diri dalam aktiviti sukan. Pada masa yang sama, bakat murid
yang berpotensi akan digilap dan dibangunkan melalui program Sukan Prestasi
Tinggi Sekolah (SPTS).
Bidang sukan sangat penting dalam mengoptimumkan keupayaan fizikal murid
selaras dengan ungkapan minda yang cerdas terletak pada tubuh yang sihat. Dalam
konteks ini, bidang sukan memainkan peranan yang penting bagi melahirkan
insan yang sihat, cergas dan produktif agar dapat memberikan sumbangan kepada
kesejahteraan sosial serta pembangunan ekonomi negara. Justeru, pelbagai aktiviti
sukan diperkenalkan bagi menarik minat murid agar mengamalkan gaya hidup
sihat dan aktif.
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melaksanakan Dasar 1 Murid 1 Sukan agar
setiap murid menikmati manfaat bersukan dengan harapan dapat membentuk
generasi yang membudayakan sukan seiring dengan keperluan akademik.
1.2 RASIONAL
Dasar 1 Murid 1 Sukan mendokong Dasar Sukan Untuk Semua dan Sukan Untuk
Kecemerlangan. Dasar ini menitikberatkan penglibatan semua murid dalam
pelbagai aktiviti sukan. Dasar ini dibentuk atas rasional kegiatan sukan adalah
sebahagian daripada transformasi pendidikan yang diusahakan oleh Kementerian
Pelajaran Malaysia (KPM). Sukan seharusnya mendapat pengiktirafan, sokongan
dan galakan yang sama sebagaimana juga yang diberikan kepada keperluan asas
yang lain seperti akademik dan kegiatan kokurikulum supaya dapat melahirkan
murid yang seimbang dari segi kesejahteraan minda dan jasmani.
Dasar ini juga menyumbang kepada penggalakan pertandingan yang sihat,
semangat muhibah, kesefahaman, toleransi dan meningkatkan nilai moral dan
fizikal yang memberikan satu landasan yang betul dalam mengintegrasikan
pelbagai kumpulan etnik kepada satu bangsa yang bersatu padu serta memupuk
semangat cinta akan negara.
Dasar 1 Murid 1 Sukan dapat memberikan peluang secara menyeluruh kepada
semua murid melibatkan diri dalam sukan secara lebih terurus dan terancang serta
mengimbangkan fokus atau penekanan dalam melahirkan insan secara holistik.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment